Tadi sedang saya membaca-baca link di internet,saya terbaca kisah para nabi..bestnya baca link tu..^_^,jadi saya pun nak buat cerita tu lah..moga-moga bermanfaat..
KISAH NABI ADAM ALAI HIS SALAM
Setelah Allah s.w.t. menciptakan bumi dengan
gunung-gunungnya,laut-lautannya dan tumbuh-tumbuhannya, menciptakan langit
dengan mataharinya, bulan dan bintang-bintangnya yang bergemerlapan menciptakan
malaikat-malaikatnya ialah sejenis makhluk halus yangdiciptakan untuk beribadah
menjadi perantara antara Zat Yang Maha Kuasa dengan hamba-hamba terutama para
rasul dan nabinya maka tibalah kehendak Allah s.w.t. untuk menciptakan sejenis
makhluk lain yang akan menghuni dan mengisi bumi memeliharanya menikmati tumbuh-tumbuhannya,
mengelola kekayaan yang terpendam di dalamnya dan berkembang biak turun-temurun
waris-mewarisi sepanjang masa yang telah ditakdirkan baginya.
Kekhuatiran Para Malaikat
Para malaikat ketika diberitahukan oleh Allah s.w.t. akan
kehendak-Nya menciptakan makhluk lain itu, mereka khuatir kalau-kalau kehendak
Allah s.w.t. menciptakan makhluk yang lain itu, disebabkan kecuaian atau
kelalaian mereka dalam ibadah dan menjalankan tugas atau kerana pelanggaran
yang mereka lakukan tanpa disedari. Berkata mereka kepada Allah
s.w.t.:"Wahai Tuhan kami! Buat apa Tuhan menciptakan makhluk lain selain
kami, padahal kami selalu bertasbih, bertahmid, melakukan ibadah dan
mengagungkan nama-Mu tanpa henti-hentinya, sedang makhluk yang Tuhan akan
ciptakan dan turunkan ke bumi itu, nescaya akan bertengkar satu dengan lain,
akan saling bunuh-membunuh berebutan menguasai kekayaan alam yang terlihat
diatasnya dan terpendam di dalamnya, sehingga akan terjadilah kerosakan dan
kehancuran di atas bumi yang Tuhan ciptakan itu."
Allah s.w.t. berfirman untuk menghilangkan kekhuatiran para
malaikat itu:
"Aku mengetahui apa yang kamu tidak ketahui dan Aku
sendirilah yang mengetahui hikmat penguasaan Bani Adam atas bumi-Ku. Bila Aku
telah menciptakannya dan meniupkan roh kepada nya,bersujudlah kamu di hadapan
makhluk baru itu sebagai penghormatan dan bukan sebagai sujud ibadah, kerana
Allah s.w.t. melarang hamba-Nya beribadah kepada sesama makhluk-Nya."
Kemudian diciptakanlah Adam oleh Allah s.w.t. dari segumpal
tanah liat,kering dan lumpur hitam yang berbentuk. Setelah disempurnakan
bentuknya ditiupkanlah roh ciptaan Tuhan ke dalamnya dan berdirilah ia tegak
menjadi manusia yang sempurna
Iblis Laknatullah Membangkang.
Iblis laknatullah membangkang dan enggan mematuhi perintah
Allah s.w.t. seperti para malaikat yang lain, yang segera bersujud di hadapan
Adam sebagai penghormatan bagi makhluk Allah s.w.t. yang akan diberi amanat
menguasai bumi dengan segala apa yang hidup dan tumbuh di atasnya serta yang
terpendam di dalamnya. Iblis laknatullah merasa dirinya lebih mulia, lebih
utama dan lebih agung dari Adam, kerana ia diciptakan dari unsur api, sedang
Adam dari tanah dan lumpur. Kebanggaannya dengan asal usulnya menjadikan ia
sombong dan merasa rendah untuk bersujud menghormati Adam seperti para malaikat
yang lain, walaupun diperintah oleh Allah s.w.t..
Allah s.w.t. bertanya kepada Iblis laknatullah:"Apakah
yang mencegahmu sujud menghormati sesuatu yang telah Aku ciptakan dengan
tangan-Ku?"
Iblis laknatullah menjawab:"Aku adalah lebih mulia dan
lebih unggul dari dia. Engkau ciptakan aku dari api dan menciptakannya dari
lumpur."Kerana kesombongan, kecongkakan dan pembangkangannya melakukan
sujud yang diperintahkan, maka Allah s.w.t. menghukum Iblis laknatullah dengan
mengusir dari syurga dan mengeluarkannya dari barisan malaikat dengan disertai
kutukan dan laknat yang akan melekat pada dirinya hingga hari kiamat. Di
samping itu ia dinyatakan sebagai penghuni neraka.
Iblis laknatullah dengan sombongnya menerima dengan baik
hukuman Tuhan itu dan ia hanya mohon agar kepadanya diberi kesempatan untuk
hidup kekal hingga hari kebangkitan kembali di hari kiamat. Allah s.w.t.
meluluskan permohonannya dan ditangguhkanlah ia sampai hari kebangkitan, tidak
berterima kasih dan bersyukur atas pemberian jaminan itu, bahkan sebaliknya ia
mengancam akan menyesatkan Adam, sebagai sebab terusirnya dia dari syurga dan
dikeluarkannya dari barisan malaikat, dan akan mendatangi anak-anak
keturunannya dari segala sudut untuk memujuk mereka meninggalkan jalan yang
lurus dan bersamanya menempuh jalan yang sesat, mengajak mereka melakukan
maksiat dan hal-hal yang terlarang, menggoda mereka supaya melalaikan
perintah-perintah agama dan mempengaruhi mereka agar tidak bersyukur dan
beramal soleh.
Kemudian Allah s.w.t. berfirman kepada Iblis laknatullah
yang terkutuk itu:
"Pergilah engkau bersama pengikut-pengikutmu yang
semuanya akan menjadi isi neraka Jahanam dan bahan bakar neraka. Engkau tidak
akan berdaya menyesatkan hamba-hamba-Ku yang telah beriman kepada Ku dengan
sepenuh hatinya dan memiliki aqidah yang mantap yang tidak akan tergoyah oleh
rayuanmu walaupun engkau menggunakan segala kepandaianmu menghasut dan
memfitnah."
Pengetahuan Adam Tentang Nama-Nama Benda.
Allah s.w.t. hendak menghilangkan anggapan rendah para
malaikat terhadap Adam dan menyakinkan mereka akan kebenaran hikmat-Nya
menunjuk Adam sebagai penguasa bumi, maka diajarkanlah kepada Adam nama-nama
benda yang berada di alam semesta, kemudian diperagakanlah benda-benda itu di
depan para malaikat seraya: "Cubalah sebutkan bagi-Ku nama benda-benda
itu, jika kamu benar merasa lebih mengetahui dan lebih mengerti dari
Adam."
Para malaikat tidak berdaya memenuhi tentangan Allah s.w.t.
untuk menyebut nama-nama benda yang berada di depan mereka. Mereka mengakui
ketidaksanggupan mereka dengan berkata: "Maha Agung Engkau! Sesungguhnya
kami tidak memiliki pengetahuan tentang sesuatu kecuali apa yang Tuhan ajarkan
kepada kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui dan Maha
Bijaksana."
Adam lalu diperintahkan oleh Allah s.w.t. untuk
memberitahukan nama-nama itu kepada para malaikat dan setelah diberitahukan
oleh Adam, berfirmanlah Allah s.w.t.kepada mereka: "Bukankah Aku telah
katakan padamu bahawa Aku mengetahui rahsia langit dan bumi dan mengetahui apa
yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan."
Adam Menghuni Syurga.
Adam diberi tempat oleh Allah s.w.t. di syurga dan baginya
diciptakanlah Hawa untuk mendampinginya dan menjadi teman hidupnya, menghilangkan
rasa kesepiannya dan melengkapi keperluan fitrahnya untuk mengembangkan
keturunan. Menurut cerita para ulamat Hawa diciptakan oleh Allah s.w.t. dari
salah satu tulang rusuk Adam yang disebelah kiri diwaktu ia masih tidur
sehingga ketika ia terjaga, ia melihat Hawa sudah berada di sampingnya lalu ia
ditanya oleh malaikat: "Wahai Adam! Apa dan siapakah makhluk yang berada
di sampingmu itu?"
Berkatalah Adam: "Seorang perempuan." Sesuai
dengan fitrah yang telah diilhamkan oleh Allah s.w.t. kepadanya. "Siapa
namanya?" tanya malaikat lagi. "Hawa", jawab Adam. "Untuk
apa Tuhan menciptakan makhluk ini?" tanya malaikat lagi. Adam menjawab:
"Untuk mendampingiku, memberi kebahagian bagiku dan mengisi keperluan
hidupku sesuai dengan kehendak Allah s.w.t.."
Allah s.w.t. berpesan kepada Adam: "Tinggallah engkau
bersama isterimu di syurga, rasakanlah kenikmatan yang berlimpah-limpah
didalamnya, rasailah dan makanlah buah-buahan yang lazat yang terdapat di
dalamnya sepuas hatimu dan sekehendak nasfumu. Kamu tidak akan mengalami atau
merasa lapar, dahaga ataupun letih selama kamu berada di dalamnya. Akan tetapi
Aku ingatkan janganlah makan buah dari pohon ini yang akan menyebabkan kamu
celaka dan termasuk orang-orang yang zalim. Ketahuilah bahawa Iblis itu adalah
musuhmu dan musuh isterimu, ia akan berusaha membujuk kamu dan menyeret kamu
keluar dari syurga sehingga hilanglah kebahagiaan yang kamu sedang nikmat
ini."
Iblis Mulai Beraksi.
Sesuai dengan ancaman yang diucapkan ketika diusir oleh
Allah s.w.t. dari syurga akibat bangkangannya dan terdorong pula oleh rasa iri
hati dan dengki terhadap Adam yang menjadi sebab sampai ia terkutuk dan
terlaknat selama-lamanya tersingkir dari singgahsana kebesarannya. Iblis
laknatullah mulai menunjukkan rancangan penyesatannya kepada Adam dan Hawa yang
sedang hidup berdua di syurga yang tenteram, damai dan bahagia.
Ia menyatakan kepada mereka bahawa ia adalah kawan mereka
dan ingin memberi nasihat dan petunjuk untuk kebaikan dan mengekalkan
kebahagiaan mereka. Segala cara dan kata-kata halus digunakan oleh Iblis
laknatullah untuk mendapatkan kepercayaan Adam dan Hawa bahawa ia betul-betul
jujur dalam nasihat dan petunjuknya kepada mereka. Ia membisikan kepada mereka
bahwa larangan Allah s.w.t. kepada mereka memakan buah-buah yang ditunjuk itu
adalah kerana dengan memakan buah itu mereka akan menjelma menjadi malaikat dan
akan hidup kekal. Diulang-ulangilah bujukannya dengan menunjukkan akan harumnya
bau pohon yang dilarang indah bentuk buahnya dan lazat rasanya. Sehingga pada
akhirnya termakanlah bujukan yang halus itu oleh Adam dan Hawa dan dilanggarlah
larangan Allah s.w.t.
Allah s.w.t. mencela perbuatan mereka itu dan berfirman yang
bermaksud: "Tidakkah Aku mencegah kamu mendekati pohon itu dan memakan
dari buahnya dan tidakkah Aku telah ingatkan kamu bahawa syaitan itu adalah
musuhmu yang nyata."
Adam dan Hawa mendengar firman Allah s.w.t. itu sedarlah ia
bahawa mereka telah terlanggar perintah Allah s.w.t. dan bahawa mereka telah
melakukan suatu kesalahan dan dosa besar. Seraya menyesal berkatalah mereka:
"Wahai Tuhan kami! Kami telah menganiaya diri kami sendiri dan telah
melanggar perintah-Mu kerana terkena bujukan Iblis. Ampunilah dosa kami kerana
nescaya kami akan tergolong orang-orang yang rugi bila Engkau tidak mengampuni
dan mengasihi kami."
Adam dan Hawa Diturunkan Ke Bumi.
Allah s.w.t. telah menerima taubat Adam dan Hawa serta
mengampuni perbuatan pelanggaran yang mereka telah lakukan hal mana telah
melegakan dada mereka dan menghilangkan rasa sedih akibat kelalaian peringatan
Allah s.w.t. tentang Iblis laknatullah sehingga terjerumus menjadi mangsa
bujukan dan rayuannya yang manis namun berancun itu.
Adam dan Hawa merasa tenteram kembali setelah menerima
pengampunan Allah s.w.t. dan selanjutnya akan menjaga jangan sampai tertipu
lagi oleh Iblis laknatullah dan akan berusaha agar pelanggaran yang telah
dilakukan dan menimbulkan murka dan teguran Allah s.w.t. itu menjadi pengajaran
bagi mereka berdua untuk lebih berhati-hati menghadapi tipu daya dan bujukan
Iblis yang terlaknat itu. Harapan untuk tinggal terus di syurga yang telah
pudar kerana perbuatan pelanggaran perintah Allah s.w.t., hidup kembali dalam
hati dan fikiran Adam dan Hawa yang merasa kenikmatan dan kebahagiaan hidup
mereka di syurga tidak akan terganggu oleh sesuatu dan bahawa redha Allah
s.w.t. serta rahmatNya akan tetap melimpah di atas mereka untuk selama-lamanya.
Akan tetapi Allah s.w.t. telah menentukan dalam takdir-Nya apa yang tidak
terlintas dalam hati dan tidak terfikirkan oleh mereka.Allah s.w.t. yang telah
menentukan dalam takdir-Nya bahawa bumi yang penuh dengan kekayaan untuk
dikelolanya, akan dikuasai kepada manusia keturunan Adam memerintahkan Adam dan
Hawa turun ke bumi sebagai benih pertama dari hamba-hambanya yang bernama
manusia itu. Berfirmanlah Allah s.w.t. kepada mereka:"Turunlah kamu ke
bumi sebahagian daripada kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kamu
dapat tinggal tetap dan hidup disana sampai waktu yang telah ditentukan."
Turunlah Adam dan Hawa ke bumi menghadapi cara hidup baru
yang jauh berlainan dengan hidup di syurga yang pernah dialami dan yang tidak
akan berulang kembali. Mereka harus menempuh hidup di dunia yang fana ini
dengan suka dan dukanya dan akan menurunkan umat manusia yang beraneka ragam
sifat dan tabiatnya berbeza-beza warna kulit dan kecerdasan otaknya. Umat
manusia yang akan berkelompok-kelompok menjadi suku-suku dan bangsa-bangsa di
mana yang satu menjadi musuh yang lain saling bunuh-membunuh aniaya-menganianya
dan tindas-menindas sehingga dari waktu ke waktu Allah s.w.t. mengutus
nabi-nabi-Nya dan rasul-rasul-Nya memimpin hamba-hamba-Nya ke jalan yang lurus
penuh damai kasih sayang di antara sesama manusia jalan yang menuju kepada
redha-Nya dan kebahagiaan manusia di dunia dan akhirat.
Kisah Adam dalam Al-Quran.
Al-Quran menceritakan kisah Adam dalam beberapa surah di
antaranya surah Al-Baqarah ayat 30 sehingga ayat 38 dan surah Al-A'raaf ayat 11
sehingga 25
Pengajaran Yang Terdapat Dari Kisah Adam.
Bahawasanya hikmah yang terkandung dalam perintah-perintah
dan larangan-larangan Allah s.w.t. dan dalam apa yang diciptakannya kadangkala
tidak atau belum dapat dicapai oleh otak manusia bahkan oleh makhluk-Nya yang
terdekat sebagaimana telah dialami oleh para malaikat tatkala diberitahu bahawa
Allah s.w.t. akan menciptakan manusia - keturunan Adam untuk menjadi
khalifah-Nya di bumi sehingga mereka seakan-akan berkeberatan dan
bertanya-tanya mengapa dan untuk apa Allah s.w.t. menciptakan jenis makhluk
lain daripada mereka yang sudah patuh rajin beribadat, bertasbih, bertahmid dan
mengagungkan nama-Nya.
Bahawasanya manusia walaupun ia telah dikurniakan kecergasan
berfikir dan kekuatan fizikal dan mental ia tetap mempunyai beberapa kelemahan
pada dirinya seperti sifat lalai, lupa dan khilaf. Hal mana telah terjadi pada
diri Nabi Adam yang walaupun ia telah menjadi manusia yang sempurna dan
dikurniakan kedudukan yang istimewa di syurga ia tetap tidak terhindar dari
sifat-sifat manusia yang lemah itu. Ia telah lupa dan melalaikan peringatan
Allah s.w.t. kepadanya tentang pohon terlarang dan tentang Iblis laknatullah
yang menjadi musuhnya dan musuh seluruh keturunannya, sehingga terperangkap ke
dalam tipu daya dan terjadilah pelanggaran pertama yang dilakukan oleh manusia
terhadap larangan Allah s.w.t..
Bahawasanya seseorang yang telah terlanjur melakukan maksiat
dan berbuat dosa tidaklah ia sepatutnya berputus asa dari rahmat dan ampunan
Allah s.w.t. asalkan ia sedar akan kesalahannya dan bertaubat tidak akan
melakukannya kembali. Rahmat Allah s.w.t. dan maghfirah-Nya dapat mencakupi
segala dosa yang diperbuat oleh hamba-Nya kecuali syirik, walau bagaimana pun
besar dosa itu asalkan diikuti dengan kesedaran bertaubat dan pengakuan
kesalahan. Sifat sombong dan congkak selalu membawa akibat kerugian dan
kebinasaan. Lihatlah Iblis laknatullah yang turun dari singgahsananya
dilucutkan kedudukannya sebagai seorang malaikat dan diusir oleh Allah s.w.t.
dari syurga dengan disertai kutukan dan laknat yang akan melekat kepada dirinya
hingga hari Kiamat kerana kesombongannya dan kebanggaaannya dengan asal-usulnya
sehingga ia menganggap dan memandang rendah kepada Nabi Adam dan menolak untuk
sujud menghormatinya walaupun diperintahkan oleh Allah s.w.t.
KISAH NABI IDRIS ALAI HIS SALAM
Tidak banyak keterangan yang didapati tentang kisah Nabi
Idris di dalam Al-Quran mahupun dalam kitab-kitab Tafsir dan kitab-kitab
sejarah nabi-nabi. Di dalam Al-Quran hanya terdapat dua ayat tentang Nabi Idris
iaitu dalam surah Maryam ayat 56 dan 57:
"Dan ceritakanlah {hai Muhammad kepada mereka kisah}
Idris yang terdapat tersebut di dalam Al-Quran. Sesungguhnya ia adalah seorang
yang sangat membenarkan dan seorang nabi. Ayat 56 Dan Kami telah
mengangkatnya ke martabat yang tinggi. Ayat
57
Nabi Idris adalah keturunan keenam dari Nabi Adam putera
dari Yarid bin Mihla'iel bin Qinan bin Anusy bin Syith bin Adam A.S. dan adalah
keturunan pertama yang dikurniai kenabian menjadi Nabi setelah Adam dan Syith.
Nabi Idris menurut sementara riwayat bermukim di Mesir di mana ia berdakwah
untuk agama Allah s.w.t. mengajarkan tauhid dan beribadat menyembah Allah
s.w.t. serta memberi beberapa pendoman hidup bagi pengikut-pengikutnya agar
menyelamat diri dari seksaan diakhirat dan kehancuran serta kebinasaan di
dunia. Ia hidup sampai usia 82 tahun.
Diantara beberapa nasihat dan kata-kata mutiaranya ialah : ~
1 . Kesabaran yang disertai iman kepada Allah s.w.t. membawa
kemenangan.
2 . Orang yang bahagia ialah orang yang berwaspada dan
mengharapkan syafaat dari Tuhannya dengan amal-amal solehnya.
3 . Bila kamu memohon sesuatu kepada Allah s.w.t. dan berdoa
maka ikhlaskanlah niatmu demikian pula puasa dan solatmu.
4 . Janganlah bersumpah dalam keadaan kamu berdusta dan
janganlah menuntup sumpah dari orang yang berdusta agar kamu tidak menyekutui
mereka dalam dosa.
5 . Taatlah kepada raja-rajamu dan tunduklah kepada
pembesar-pembesarmu serta penuhilah selalu mulut-mulutmu dengan ucapan syukur
dan puji kepada Allah s.w.t.
6 . Janganlah iri hati kepada orang-orang yang baik
nasibnya, kerana mereka tidak akan banyak dan lama menikmati kebaikan nasibnya.
7 . Barang siapa melampaui kesederhanaan tidak sesuatu pun
akan memuaskannya.
8 . Tanpa membahagi-bahagikan nikmat yang diperolehnya
seorang tidak dapat bersyukur kepada Allah s.w.t. atas nikmat-nikmat yang diperolehinya itu.
Dalam hubungan dengan firman Allah s.w.t. bahawa Nabi Idris
diangkat kemartabat tinggi. Ibnu Abi Hatim dalam tafsirnya meriwayatkan bahawa
Nabi Idris wafat tatkala berada di langit keempat dibawa oleh seorang Malaikat.
Wallahu a'alam bissawab.
KISAH NABI NUH ALAI HIS SALAM
Nabi Nuh adalah nabi keempat sesudah Adam, Syith dan Idris
dan keturunan kesembilan dari Nabi Adam. Ayahnya adalah Lamik bin Metusyalih
bin Idris.
Dakwah Nabi Nuh Kepada Kaumnya
Nabi Nuh menerima wahyu kenabian dari Allah s.w.t. dalam
masa "fatrah" masa kekosongan di antara dua rasul dimana biasanya
manusia secara beransur-ansur melupakan ajaran agama yang dibawa oleh nabi yang
meninggalkan mereka dan kembali bersyirik meninggalkan amal kebajikan,
melakukan kemungkaran dan kemaksiatan di bawah pimpinan Iblis laknatullah.
Demikianlah maka kaum Nabi Nuh tidak luput dari proses tersebut, sehingga
ketika Nabi Nuh datang di tengah-tengah mereka, mereka sedang menyembah berhala
iaitu patung-patung yang dibuat oleh tangan-tangan mereka sendiri disembahnya
sebagai tuhan-tuhan yang dapat membawa kebaikan dan manfaat serta menolak
segala kesengsaraan dan kemalangan. Berhala-berhala yang dipertuhankan dan
menurut kepercayaan mereka mempunyai kekuatan dan kekuasaan ghaib ke atas
manusia itu diberinya nama-nama yang silih berganti menurut kehendak dan selera
kebodohan mereka.Kadang-kadang mereka namakan berhala mereka "Wadd"
dan "Suwa" kadangkala "Yaguts" dan bila sudah bosan digantinya
dengan nama "Yatuq" dan "Nasr".
Nabi Nuh berdakwah kepada kaumnya yang sudah jauh tersesat
oleh iblis laknatullah itu, mengajak mereka meninggalkan syirik dan penyembahan
berhala dan kembali kepada tauhid menyembah Allah s.w.t., Tuhan sekalian alam
melakukan ajaran-ajaran agama yang diwahyukan kepadanya serta meninggalkan
kemungkaran dan kemaksiatan yang diajarkan oleh Syaitan dan Iblis laknatullah.
Nabi Nuh menarik perhatian kaumnya agar melihat alam semesta yang diciptakan
oleh Allah s.w.t. berupa langit dengan matahari, bulan dan bintang-bintang yang
menghiasinya, bumi dengan kekayaan yang ada di atas dan di bawahnya, berupa
tumbuh-tumbuhan dan air yang mengalir yang memberi kenikmatan hidup kepada
manusia, pengantian malam menjadi siang dan sebaliknya yang kesemua itu menjadi
bukti dan tanda nyata akan adanya ke Esaan Tuhan yang harus disembah dan bukan
berhala-berhala yang mereka buat dengan tangan mereka sendiri.Di samping itu
Nabi Nuh juga memberitakan kepada mereka bahwa akan ada gajaran yang akan
diterima oleh manusia atas segala amalannya di dunia iaitu syurga bagi amalan
kebajikan dan neraka bagi segala pelanggaran terhadap perintah agama yang
berupa kemungkaran dan kemaksiatan.
Nabi Nuh yang dikurniakan Allah s.w.t. dengan sifat-sifat
yang patut dimiliki oleh seorang nabi, fasih dan tegas dalam kata-katanya,
bijaksana dan sabar dalam tindak-tanduknya melaksanakan tugas risalahnya kepada
kaumnya dengan penuh kesabaran dan kebijaksanaan dengan cara yang lemah lembut
mengetuk hati nurani mereka dan kadang kala dengan kata-kata yang tajam dan
nada yang kasar bila menghadapi para pembesar kaumnya yang keras kepala yang
enggan menerima hujjah dan dalil-dalil yang dikemukakan kepada mereka yang
tidak dapat mereka membantahnya atau mematahkannya.
Akan tetapi walaupun Nabi Nuh telah berusaha sekuat
tanaganya berdakwah kepda kaumnya dengan segala kebijaksanaan, kecekapan dan
kesabaran dan dalam setiap kesempatan, siang mahupun malam dengan cara
berbisik-bisik atau cara terang dan terbuka ternyata hanya sedikit sekali dari
kaumnya yang dapat menerima dakwahnya dan mengikuti ajakannya, yang menurut
sementara riwayat tidak melebihi bilangan seratus orang Mereka pun terdiri dari
orang-orang yang miskin berkedudukan sosial lemah. Sedangkan orang yang
kaya-raya, berkedudukan tingi dan terpandang dalam masyarakat, yang merupakan
pembesar-pembesar dan penguasa-penguasa tetap membangkang, tidak mempercayai
Nabi Nuh mengingkari dakwahnya dan sesekali tidak merelakan melepas agamanya
dan kepercayaan mereka terhadap berhala-berhala mereka, bahkan mereka berusaha
dengan mengadakan persekongkolan hendak melumpuhkan dan mengagalkan usaha
dakwah Nabi nuh.
Berkata mereka kepada Nabi Nuh: "Bukankah engkau hanya
seorang daripada kami dan tidak berbeda daripada kami sebagai manusia biasa.
Jikalau betul Allah s.w.t. akan mengutuskan seorang rasul yang membawa
perintah-Nya, nescaya Ia akan mengutuskan seorang malaikat yang patut kami
dengarkan kata-katanya dan kami ikuti ajakannya dan bukan manusia biasa seperti
engkau hanya dapat diikuti orang-orang rendah kedudukan sosialnya seperti para
buruh petani orang-orang yang tidak berpenghasilan yang bagi kami mereka
seperti sampah masyarakat. Pengikut-pengikutmu itu adalah orang-orang yang
tidak mempunyai daya fikiran dan ketajaman otak, mereka mengikutimu secara buta
tuli tanpa memikirkan dan menimbangkan masak-masak benar atau tidaknya dakwah
dan ajakanmu itu. Cuba agama yang engkau bawa dan ajaran -ajaran yang engkau sadurkan
kepada kami itu betul-betul benar, nescaya kamilah dulu mengikutimu dan
bukannya orang-orang yang mengemis pengikut-pengikutmu itu. Kami sebagai
pemuka-pemuka masyarakat yang pandai berfikir, memiliki kecerdasan otak dan
pandangan yang luas dan yang dipandang masyarakat sebagai pemimpin-pemimpinnya,
tidaklah mudah kami menerima ajakanmu dan dakwahmu. Engkau tidak mempunyai
kelebihan di atas kami tentang soal-soal kemasyarakatan dan pergaulan hidup.
Kami jauh lebih pandai dan lebih mengetahui daripadamu tentang hal itu
semuanya. Anggapan kami terhadapmu, tidak lain dan tidak bukan, bahawa engkau
adalah pendusta belaka."
Nuh berkata, menjawab ejekan dan olok-olokan kaumnya:
"Adakah engkau mengira bahawa aku dapat memaksa kamu mengikuti ajaranku
atau mengira bahawa aku mempunyai kekuasaan untuk menjadikan kamu orang-orang
yang beriman jika kamu tetap menolak ajakanku dan tetap membuta-tuli terhadap
bukti-bukti kebenaran dakwahku dan tetap mempertahakan pendirianmu yang
tersesat yang diilhamkan oleh kesombongan dan kecongkakan kerana kedudukan dan
harta-benda yang kamu miliki.Aku hanya seorang manusia yang mendapat amanat dan
diberi tugas oleh Allah s.w.t. untuk menyampaikan risalah-Nya kepada kamu. Jika
kamu tetap berkeras kepala dan tidak mahu kembali ke jalan yang benar dan
menerima agama Allah s.w.t. yang diutuskan-Nya kepada ku maka terserahlah
kepada Allah s.w.t. untuk menentukan hukuman-Nya dan gajaran-Nya keatas diri
kamu. Aku hanya pesuruh dan rasul-Nya yang diperintahkan untuk menyampaikan
amanat-Nya kepada hamba-hamba-Nya. Dialah yang berkuasa memberi hidayah
kepadamu dan mengampuni dosamu atau menurunkan azab dan seksaan-Nya di atas
kamu sekalian jika Ia kehendaki. Dialah pula yang berkuasa menurunkan seksa dan
azab-nya di dunia atau menangguhkannya sampai hari kemudian. Dialah Tuhan
pencipta alam semesta ini, Maha Kuasa, Maha Mengetahui, maha pengasih dan Maha
Penyayang.".
Kaum Nuh mengemukakan syarat dengan berkata: "Wahai
Nuh! Jika engkau menghendaki kami mengikutimu dan memberi sokongan dan semangat
kepada kamu dan kepada agama yang engkau bawa, maka jauhkanlah para pengikutmu
yang terdiri dari orang-orang petani, buruh dan hamaba-hamba sahaya itu.
Usirlah mereka dari pengaulanmu kerana kami tidak dapat bergaul dengan mereka
duduk berdampingan dengan mereka mengikut cara hidup mereka dan bergabung
dengan mereka dalam suatu agama dan kepercayaan. Dan bagaimana kami dapat
menerima satu agama yang menyamaratakan para bangsawan dengan orang awam,
penguasa dan pembesar dengan buruh-buruhnya dan orang kaya yang berkedudukan
dengan orang yang miskin dan papa."
Nabi Nuh menolak pensyaratan kaumnya dan berkata:
"Risalah dan agama yang aku bawa adalah untuk semua orang tiada
pengecualian, yang pandai mahupun yang bodoh, yang kaya mahupun miskin, majikan
ataupun buruh ,diantara peguasa dan rakyat biasa semuanya mempunyai kedudukan
dan tempat yang sama terhadap agama dan hukum Allah s.w.t.. Andai kata aku
memenuhi pensyaratan kamu dan meluluskan keinginanmu menyingkirkan para
pengikutku yang setia itu, maka siapakah yang dapat ku harapkan akan meneruskan
dakwahku kepada orang ramai dan bagaimana aku sampai hati menjauhkan daripadaku
orang-orang yang telah beriman dan menerima dakwahku dengan penuh keyakinan dan
keikhlasan di kala kamu menolaknya serta mengingkarinya, orang-orang yang telah
membantuku dalam tugasku di kala kamu menghalangi usahaku dan merintangi
dakwahku. Dan bagaimanakah aku dapat mempertanggungjawabkan tindakan
pengusiranku kepada mereka terhadap Allah s.w.t. bila mereka mengadu bahawa aku
telah membalas kesetiaan dan ketaatan mereka dengan sebaliknya semata-mata
untuk memenuhi permintaanmu dan tunduk kepada pensyaratanmu yang tidak wajar
dan tidak dapat diterima oleh akal dan fikiran yang sihat. Sesungguhnya kamu
adalah orang-orang yang bodoh dan tidak berfikiran sihat.
Pada akhirnya, kerana merasa tidak berdaya lagi mengingkari
kebenaran kata-kata Nabi Nuh dan merasa kehabisan alasan dan hujjah untuk
melanjutkan dialog dengan beliau, maka berkatalah mereka: "Wahai Nabi Nuh!
Kita telah banyak bermujadalah dan berdebat dan cukup berdialog serta mendengar
dakwahmu yang sudah menjemukan itu. Kami tetap tidak akan mengikutimu dan tidak
akan sesekali melepaskan kepercayaan dan adat-istiadat kami sehingga tidak ada
gunanya lagi engkau mengulang-ulangi dakwah dan ajakanmu dan bertegang lidah
dengan kami. Datangkanlah apa yang engkau benar-benar orang yang menepati janji
dan kata-katanya. Kami ingin melihat kebenaran kata-katamu dan ancamanmu dalam
kenyataan kerana kami masih tetap belum mempercayaimu dan tetap meragukan
dakwahmu."
Nabi Nuh Berputus Asa Dari Kaumnya
Nabi Nuh berada di tengah-tengah kaumnya selama 950 tahun
berdakwah menyampaikan risalah Allah s.w.t., mengajak mereka meninggalkan
penyembahan berhala dan kembali menyembah dan beribadah kepada Allah Yang maha
Kuasa memimpin mereka keluar dari jalan yang sesat dan gelap ke jalan yang
benar dan terang, mengajar mereka hukum-hukum syariat dan agama yang diwahyukan
oleh Allah s.w.t. kepadanya, mangangkat darjat manusia yang tertindas dan lemah
ke tingat yang sesuai dengan fitrah dan qudratnya dan berusaha menghilangkan
sifat-sifat sombong dan bongkak yang melekat pada para pembesar kaumnya dan
medidik agar mereka berkasih sayang, tolong-menolong diantara sesama manusia.
Akan tetapi dalam waktu yang cukup lama itu, Nabi Nuh tidak berhasil
menyedarkan dan menarik kaumnya untuk mengikuti dan menerima dakwahnya beriman,
bertauhid dan beribadat kepada Allah s.w.t. kecuali sekelompok kecil kaumnya
yang tidak mencapai seramai seratus orang, walaupun ia telah melakukan tugasnya
dengan segala dayausahanya dan sekuat tenaganya dengan penuh kesabaran dan
kesulitan menghadapi penghinaan, ejekan dan cercaan makian kaumnya, kerana ia
mengharapkan akan datang masanya di mana kaumnya akan sedar diri dan datang
mengakui kebenarannya dan kebenaran dakwahnya. Harapan Nabi Nuh akan kesedaran
kaumnya ternyata makin hari makin berkurangan dan bahawa sinar iman dan takwa
tidak akan menebus ke dalam hati mereka yang telah tertutup rapat oleh ajaran
dan bisikan Iblislaknatullah. Hal mana Nabi Nuh berupa berfirman Allah s.w.t.
yang bermaksud:
"Sesungguhnya tidak akan seorang daripada kaumnya
mengikutimu dan beriman kecuali mereka yang telah mengikutimu dan beriman lebih
dahulu, maka janganlah engkau bersedih hati kerana apa yang mereka
perbuatkan."
Dengan penegasan firman Allah s.w.t. itu, lenyaplah sisa
harapan Nabi Nuh dari kaumnya dan habislah kesabarannya. Ia memohon kepada
Allah s.w.t. agar menurunkan azab-Nya di atas kaumnya yang berkepala batu
seraya berseru: "Ya Allah! Janganlah Engkau biarkan seorang pun daripada
orang-orang kafir itu hidup dan tinggal di atas bumi ini. Mereka akan berusaha
menyesatkan hamba-hamba-Mu, jika Engkau biarkan mereka tinggal dan mereka tidak
akan melahirkan dan menurunkan selain anak-anak yang berbuat maksiat dan
anak-anak yang kafir seperti mereka."
Doa Nabi Nuh dikalbulkan oleh Allah s.w.t. dan permohonannya
diluluskan dan tidak perlu lagi menghiraukan dan mempersoalkan kaumnya, kerana
mereka itu akan menerima hukuman Allah s.w.t. dengan mati tenggelam.
Nabi Nuh Membuat Kapal
Setelah menerima perintah Allah s.w.t. untuk membuat sebuah
kapal, segeralah Nabi Nuh mengumpulkan para pengikutnya dan mulai mereka
mengumpulkan bahan yang diperlukan untuk maksud tersebut, kemudian dengan mengambil
tempat di luar dan agak jauh dari kota dan keramaiannya mereka dengan rajin dan
tekun bekerja siang dan malam menyelesaikan pembinaan kapal yang diperintahkan
itu. Walaupun Nabi Nuh telah menjauhi kota dan masyarakatnya, agar dapat
bekerja dengan tenang tanpa gangguan bagi menyelesaikan pembinaan kapalnya
namun ia tidak luput dari ejekan dan cemuhan kaumnya yang kebetulan atau
sengaja melalui tempat kerja membina kapal itu. Mereka mengejek dan
mengolok-olok dengan mengatakan: "Wahai Nuh! Sejak bila engkau telah
menjadi tukang kayu dan pembuat kapal? Bukankah engkau seorang nabi dan rasul
menurut pengakuanmu, kenapa sekarang menjadi seorang tukang kayu dan pembuat
kapal.Dan kapal yang engkau buat itu di tempat yang jauh dari air ini adalah
maksudmu untuk ditarik oleh kerbau ataukah mengharapkan angin yang ankan
menarik kapalmu ke laut?" Dan lain-lain kata ejekan yang diterima oleh
Nabi Nuh dengan sikap dingin dan tersenyum seraya menjawab: "Baiklah
tunggu saja saatnya nanti, jika kamu sekarang mengejek dan mengolok-olok kami
maka akan tibalah masanya kelak bagi kami untuk mengejek kamu dan akan kamu
ketahui kelak untuk apa kapal yang kami siapkan ini. Tunggulah saatnya azab dan
hukuman Allah s.w.t. menimpa atas diri kamu."
Setelah selesai pekerjaan pembuatan kapal yang merupakan
alat pengangkutan laut pertama di dunia, Nabi Nuh menerima wahyu dari Allah
s.w.t.: "Siap-siaplah engkau dengan kapalmu, bila tiba perintah-Ku dan
terlihat tanda-tanda darrpada-Ku maka segeralah angkut bersamamu di dalam kapalmu
dan kerabatmu dan bawalah dua pasang dari setiap jenis makhluk yang ada di atas
bumi dan belayarlah dengan izin-Ku."
Kemudian tercurahlah dari langit dan memancur dari bumi air
yang deras dan dahsyat yang dalam sekelip mata telah menjadi banjir besar
melanda seluruh kota dan desa menggenangi daratan yang rendah mahupun yang
tinggi sampai mencapai puncak bukit-bukit sehingga tiada tempat berlindung dari
air bah yang dahsyat itu kecuali kapal Nabi Nuh yang telah terisi penuh dengan
para orang mukmin dan pasangan makhluk yang diselamatkan oleh Nabi Nuh atas
perintah Allah s.w.t..
Dengan iringan "Bismillah majraha wa mursaha"
belayarlah kapal Nabi Nuh dengan lajunya menyusuri lautan air, menentang angin
yang kadang kala lemah lembut dan kadang kala ganas dan ribut. Di kanan kiri
kapal terlihatlah orang-orang kafir bergelut melawan gelombang air yang
menggunung berusaha menyelamat diri dari cengkaman maut yang sudah sedia
menerkam mereka di dalam lipatan gelombang-gelombang itu. Tatkala Nabi Nuh
berada di atas geladak kapal memperhatikan cuaca dan melihat-lihat orang-orang
kafir dari kaumnya sedang bergelimpangan di atas permukaan air, tiba-tiba
terlihatlah olehnya tubuh putera sulungnya yang bernama "Kan'aan"
timbul tenggelam dipermainkan oleh gelombang yang tidak menaruh belas kasihan
kepada orang-orang yang sedang menerima hukuman Allah s.w.t. itu. Pada saat
itu, tanpa disadari, timbullah rasa cinta dan kasih sayang seorang ayah
terhadap putera kandungnya yang berada dalam keadaan cemas menghadapi maut
ditelan gelombang.
Nabi Nuh secara spontan, terdorong oleh suara hati kecilnya
berteriak dengan sekuat suaranya memanggil puteranya: "Wahai anakku!
Datanglah kemari dan gabungkan dirimu bersama keluargamu. Bertaubatlah engkau
dan berimanlah kepada Allah s.w.t. agar engkau selamat dan terhindar dari
bahaya maut yang engkau menjalani hukuman Allah s.w.t.." Kan'aan, putera
Nabi Nuh, yang tersesat dan telah terkena racun rayuan syaitan laknatullah dan
hasutan kaumnya yang sombong dan keras kepala itu menolak dengan keras ajakan
dan panggilan ayahnya yang menyayanginya dengan kata-kata yang menentang:
"Biarkanlah aku dan pergilah, jauhilah aku, aku tidak sudi berlindung di
atas geladak kapalmu aku akan dapat menyelamatkan diriku sendiri dengan
berlindung di atas bukit yang tidak akan dijangkau oleh air bah ini."
Nuh menjawab: "Percayalah bahawa tempat satu-satunya
yang dapat menyelamatkan engkau ialah bergabung dengan kami di atas kapal ini.
Masa tidak akan ada yang dapat melepaskan diri dari hukuman Allah s.w.t. yang
telah ditimpakan ini kecuali orang-orang yang memperolehi rahmat dan
keampunan-Nya." Setelah Nabi Nuh mengucapkan kata-katanya tenggelamlah
Kan'aan disambar gelombang yang ganas dan lenyaplah ia dari pandangan mata
ayahnya, tergelincirlah ke bawah lautan air mengikut kawan-kawannya dan
pembesar-pembesar kaumnya yang durhaka itu.
Nabi Nuh bersedih hati dan berdukacita atas kematian
puteranya dalam keadaan kafir tidak beriman dan belum mengenal Allah s.w.t..
Beliau berkeluh-kesah dan berseru kepada Allah s.w.t.: "Ya Tuhanku,
sesungguhnya puteraku itu adalah darah dagingku dan adalah bahagian dari
keluargaku dan sesungguhnya janji-Mu adalah janji benar dan Engkaulah Maha
Hakim yang Maha Berkuasa." Kepadanya Allah s.w.t. berfirman: "Wahai
Nuh! Sesungguhnya dia puteramu itu tidaklah termasuk keluargamu, kerana ia
telah menyimpang dari ajaranmu, melanggar perintahmu menolak dakwahmu dan
mengikuti jejak orang-orang yang kafir daripada kaummu.Coretlah namanya dari
daftar keluargamu.Hanya mereka yang telah menerima dakwahmu mengikuti jalanmu
dan beriman kepada-Ku dapat engkau masukkan dan golongkan ke dalam barisan
keluargamu yang telah Aku janjikan perlindungannya dan terjamin keselamatan
jiwanya. Adapun orang-orang yang mengingkari risalah mu, mendustakan dakwahmu
dan telah mengikuti hawa nafsunya dan tuntutan Iblis, pastilah mereka akan
binasa menjalani hukuman yang telah Aku tentukan walau mereka berada dipuncak
gunung. Maka janganlah engkau sesekali menanyakan tentang sesuatu yang engkau
belum ketahui. Aku ingatkan janganlah engkau sampai tergolong ke dalam golongan
orang-orang yang bodoh."
Nabi Nuh sedar segera setelah menerima teguran dari Allah
s.w.t. bahawa cinta kasih sayangnya kepada anaknya telah menjadikan ia lupa
akan janji dan ancaman Allah s.w.t. terhadap orang-orang kafir termasuk
puteranya sendiri. Ia sedar bahawa ia tersesat pada saat ia memanggil puteranya
untuk menyelamatkannya dari bencana banjir yang didorong oleh perasaan naluri
darah yang menghubungkannya dengan puteranya padahal sepatutnya cinta dan taat
kepada Allah s.w.t. harus mendahului cinta kepada keluarga dan harta-benda. Ia
sangat sesalkan kelalaian dan kealpaannya itu dan menghadap kepada Allah s.w.t.
memohon ampun dan maghfirahnya dengan berseru: "Ya Tuhanku aku berlindung
kepada-Mu dari godaan syaitan yang terlaknat, ampunilah kelalaian dan
kealpaanku sehingga aku menanyakan sesuatu yang aku tidak mengetahuinya. Ya
Tuhanku bila Engkau tidak memberi ampun dan maghfirah serta menurunkan rahmat
bagiku, nescaya aku menjadi orang yang rugi."
Setelah air bah itu mencapai puncak keganasannya dan habis
binasalah kaum Nuh yang kafir dan zalim sesuai dengan kehendak dan hukum Allah
s.w.t., surutlah lautan air diserap bumi kemudian bertambatlah kapal Nuh di
atas bukit " Judie " dengan iringan perintah Allah s.w.t. kepada Nabi
Nuh: "Turunlah wahai Nuh ke darat engkau dan para mukmin yang menyertaimu
dengan selamat dilimpahi barakah dan inayah dari sisi-Ku bagimu dan bagi umat
yang menyertaimu."
Kisah Nabi Nuh Dalam Al-Quran
Al-Quran menceritakan kisah Nabi Nuh dalam 43 ayat dari 28
surah di antaranya surah Nuh dari ayat 1 sehinga 28, juga dalam surah
"Hud" ayat 27 sehingga 48 yang mengisahkan dialog Nabi Nuh dengan
kaumnya dan perintah pembuatan kapal serta keadaan banjir yang menimpa di atas
mereka.
Pengajaran Dari Kisah Nabi Nuh Alai his salam
Bahawasanya hubungan antara manusia yang terjalin kerana
ikatan persamaan kepercayaan atau penamaan aqidah dan pendirian adalah lebih
erat dan lebih berkesan daripada hubungan yang terjalin kerana ikatan darah
atau kelahiran. Kan'aan yang walaupun ia adalah anak kandung Nabi Nuh, oleh
Allah s.w.t. dikeluarkan dari bilangan keluarga ayahnya karena ia menganut
kepercayaan dan agama berlainan dengan apa yang dianut dan didakwahkan oleh
ayahnya sendiri, bahkan ia berada di pihak yang memusuhi dan menentangnya.
Maka dalam pengertian inilah dapat difahami firman Allah
s.w.t. dalam Al-Quran yang bermaksud: "Sesungguhnya para mukmin itu adalah
bersaudara." Demikian pula hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
"Tidaklah sempurna iman seseorang kecuali jika ia menyintai saudaranya
yang beriman sebagaimana ia menyintai dirinya sendiri." Juga peribahasa
yang berbunyi: "Adakalanya engkau memperolehi seorang saudara yang tidak
dilahirkan oleh ibumu."
KISAH NABI HUD A.S.
"Aad" adalah nama bapa suatu suku yang hidup di
jazirah Arab di suatu tempat bernama "Al-Ahqaf" terletak di utara Hadramaut
antara Yaman dan Umman dan termasuk suku yang tertua sesudah kaum Nabi Nuh
serta terkenal dengan kekuatan jasmani dalam bentuk tubuh-tubuh yang besar dan
sasa. Mereka dikurniai oleh Allah s.w.t. tanah yang subur dengan sumber-sumber
airnya yang mengalir dari segala penjuru sehinggakan memudahkan mereka bercucuk
tanam untuk bahan makanan mereka dan memperindah tempat tinggal mereka dengan
kebun-kebun bunga yang indah-indah. Berkat kurnia Allah s.w.t. itu mereka hidup
menjadi makmur, sejahtera dan bahagia serta dalam waktu yang singkat mereka
berkembang biak dan menjadi suku yang terbesar diantara suku-suku yang hidup di
sekelilingnya.
Sebagaimana dengan kaum Nabi Nuh kaum Hud ialah suku Aad ini
adalah penghidupan rohaninya tidak mengenal Allah Yang Maha Kuasa Pencipta alam
semesta. Mereka membuat patung-patung yang diberi nama " Shamud" dan
" Alhattar" dan itu yang disembah sebagai tuhan mereka yang menurut
kepercayaan mereka dapat memberi kebahagiaan, kebaikan dan keuntungan serta
dapat menolak kejahatan, kerugian dan segala musibah. Ajaran dan agama Nabi
Idris dan Nabi Nuh sudah tidak berbekas dalam hati, jiwa serta cara hidup
mereka sehari-hari. Kenikmatan hidup yang mereka sedang tenggelam di dalamnya
berkat tanah yang subur dan menghasilkan yang melimpah ruah menurut anggapan
mereka adalah kurniaan dan pemberian kedua berhala mereka yang mereka sembah.
Kerananya mereka tidak putus-putus sujud kepada kedua berhala itu mensyukurinya
sambil memohon perlindungannya dari segala bahaya dan mushibah berupa penyakit
atau kekeringan.
Sebagai akibat dan buah dari aqidah yang sesat itu pergaulan
hidup mereka menjadi dikuasai oleh tuntutan dan pimpinan Iblis laknatullah, di
mana nilai-nilai moral dan akhlak tidak menjadi dasar penimbangan atau kelakuan
dan tindak-tanduk seseorang tetapi kebendaan dan kekuatan lahiriahlah yang
menonjol sehingga timbul kerusuhan dan tindakan sewenang-wenang di dalam
masyarakat di mana yang kuat menindas yang lemah yang besar memperkosa yang
kecil dan yang berkuasa memeras yang di bawahnya. Sifat-sifat sombong, congkak,
iri-hati, dengki, hasut dan benci-membenci yang didorong oleh hawa nafsu
merajalela dan menguasai penghidupan mereka sehingga tidak memberi tempat
kepada sifat-sifat belas kasihan, sayang menyayang, jujur, amanat dan rendah
hati. Demikianlah gambaran masyarakat suku Aad tatkala Allah s.w.t. mengutuskan
Nabi Hud sebagai nabi dan rasul kepada mereka.
Nabi Hud Berdakwah Di Tengah-tengah Sukunya
Sudah menjadi sunnah Allah s.w.t. sejak diturunkannya Adam
Ke bumi bahawa dari masa ke semasa jika hamba-hamba-Nya sudah berada dalam
kehidupan yang sesat sudah jauh menyimpang dari ajaran-ajaran agama yang dibawa
oleh Nabi-nabi-Nya diutuslah seorang Nabi atau Rasul yang bertugas untuk
menyegarkan kembali ajaran-ajaran nabi-nabi yang sebelumnya mengembalikan
masyarakat yang sudah tersesat ke jalanlurus dan benar dan mencuci bersih jiwa
manusiadari segala tahayul dan syirik menggantinya dan mengisinya dengan iman
tauhid dan aqidah yang sesuia dengan fitrah.
Demikianlah maka kepada suku Aad yang telah dimabukkan oleh
kesejahteraan hidup dan kenikmatan duniawi sehingga tidak mengenalkan Tuhannya
yang mengurniakan itu semua. Di utuskan kepada mereka Nabi Hud seorang daripada
suku mereka sendiri dari keluarga yang terpandang dan berpengaruh terkenal
sejak kecilnya dengan kelakuan yang baik budi pekerti yang luhur dan sgt
bijaksana dalam pergaulan dengan kawan-kawannya. Nabi Hud memulai dakwahnya
dengan menarik perhatian kaumnya suku Aad kepada tanda-tanda wujudnya Allah
s.w.t. yang berupa alam sekeliling mereka dan bahawa Allah s.w.t. lah yang
mencipta mereka semua dan mengurniakan mereka dengan segala kenikmatan hidup yang
berupa tanah yang subur, air yang mengalir serta tubuh-tubuhan yang tegak dan
kuat. Dialah yang seharusnya mereka sembah dan bukan patung-patung yang mereka
perbuat sendiri. Mereka sebagai manusia adalah makhluk Tuhan paling mulia yang
tidak sepatutnya merendahkan diri sujud menyembah batu-batu yang sewaktunya
dapat mereka hancurkan sendiri dan memusnahkannya dari pandangan.
Di terangkan oleh Nabi Hud bahawa dia adalah pesuruh Allah
s.w.t. yang diberi tugas untuk membawa mereka ke jalan yang benar beriman
kepada Allah s.w.t. yang menciptakan mereka menghidup dan mematikan mereka
memberi rezeki atau mencabutnya daripada mereka. Ia tidak mengharapkan upah dan
menuntut balas jasa atas usahanya memimpin dan menuntut mereka ke jalan yang
benar. Ia hanya menjalankan perintah Allah s.w.t. dan memperingatkan mereka
bahawa jika mereka tetap menutup telinga dan mata mrk menghadapi ajakan dan
dakwahnya mereka akan ditimpa azab dan dibinasakan oleh Allah s.w.t.
sebagaimana terjadinya atas kaum Nuh yang mati binasa tenggelam dalam air bah
akibat kecongkakan dan kesombongan mereka menolak ajaran dan dakwah Nabi Nuh
seraya bertahan pada pendirian dan kepercayaan mereka kepada berhala dan
patung-patung yang mereka sembah dan puja itu.
Bagi kaum Aad seruan dan dakwah Nabi Hud itu merupakan
barang yang tidak pernah mereka dengar ataupun menduga. Mereka melihat bahawa
ajaran yang dibawa oleh Nabi Hud itu akan mengubah sama sekali cara hidup
mereka dan membongkar peraturan dan adat istiadat yang telah mereka kenal dan
warisi dari nenek moyang mereka. Mereka tercengang dan merasa hairan bahawa
seorang dari suku mereka sendiri telah berani berusaha merombak tatacara hidup
mereka dan menggantikan agama dan kepercayaan mereka dengan sesuatu yang baru
yang mereka tidak kenal dan tidak dapat dimengertikan dan diterima oleh akal
fikiran mereka. Dengan serta-merta ditolaklah oleh mereka dakwah Nabi Hud itu
dengan berbagai alasan dan tuduhan kosong terhadap diri beliau serta
ejekan-ejekan dan hinaan yang diterimanya dengan kepala dingin dan penuh
kesabaran.
Berkatalah kaum Aad kepada Nabi Hud: "Wahai Hud! Ajaran
dan agama apakah yang engkau hendak anjurkan kepada kami? Engkau ingin agar
kami meninggalkan persembahan kami kepada tuhan-tuhan kami yang berkuasa ini
dan menyembah tuhan mu yang tidak dapat kami jangkau dengan pancaindera kami
dan tuhan yang menurut kata kamu tidak bersekutu. Cara persembahan yang kami
lakukan ini ialah yang telah kami warisi dari nenek moyang kami dan tidak
sesekali kami tidak akan meninggalkannya bahkan sebaliknya engkaulah yang
seharusnya kembali kepada aturan nenek moyangmu dan jangan mencederai
kepercayaan dan agama mereka dengan memebawa suatu agama baru yang tidak kenal
oleh mereka dan tentu tidak akan direstuinya."
Wahai kaumku! jawab Nabi Hud, "Sesungguhnya Tuhan yang
aku serukan ini kepada kamu untuk menyembah-Nya walaupun kamu tidak dapat
menjangkau-Nya dengan pancainderamu namun kamu dapat melihat dan merasakan
wujudnya dalam diri kamu sendiri sebagai ciptaanNya dan dalam alam semesta yang
mengelilingimu beberapa langit dengan matahari bulan dan bintang-bintangnya
bumi dengan gunung-ganangnya sungai tumbuh-tumbuhan dan binatang-binatang yang
kesemuanya dapat bermanfaat bagi kamu sebagai manusia. Dan menjadi kamu dapat
menikmati kehidupan yang sejahtera dan bahagia. Tuhan itulah yang harus kamu
sembah dan menundukkan kepala kamu kepada-Nya, Tuhan Yang Maha Esa tiada
bersekutu tidak beranak dan diperanakan yang walaupun kamu tidak dpt
menjangkau-Nya dengan pancainderamu, Dia dekat daripada kamu mengetahui segala
gerak-geri dan tingkah lakumu mengetahui isi hati mu denyut jantungmu dan jalan
fikiranmu. Tuhan itulah yang harus disembah oleh manusia dengan kepercayaan
penuh kepada keesaan-Nya dan kekuasaan-Nya dan bukan patung-patung yang kamu
perbuat pahat dan ukir dengan tangan kamu sendiri kemudian kamu sembah sebagai
tuhan padahal ia suatu barang yang tidak dapat berbuat sesuatu yang
menguntungkan atau merugikan kamu. Alangkah bodohnya dan dangkalnya fikiranmu
jika kamu tetap mempertahankan agamamu yang sesat itu dan menolak ajaran dan
agama yang telah diwahyukan kepadaku oleh Allah Tuhan Yang Maha Esa itu."
Wahai Hud! jawab kaumnya, "Gerangan apakah yang
menjadikan engkau berpandangan dan berfikiran lain daripada yang sudah menjadi
pegangan hidup kami sejak dahulu kala dan menjadikan engkau meninggalkan agama
nenek moyangmu sendiri bahkan sehingga engkau menghina dan merendahkan martabat
tuhan-tuhan kami dan memperbodohkan kami dan menganggap kami berakal sempit dan
berfikiran dangkal? Engkau mengaku bahawa engkau terpilih menjadi rasul pesuruh
oleh Tuhanmu untuk membawa agama dan kepercayaan baru kepada kami dan mengajak
kami keluar dari jalan yang sesat menurut pengakuanmu ke jalan yang benar dan
lurus. Kami merasa hairan dan tidak dapat menerima oleh akal kami sendiri bahwa
engkau telah dipilih menjadi pesuruh Tuhan. Apakah kelebihan kamu di atas
seseorang daripada kami, engkau tidak lebih tidak kurang adalah seorang manusia
biasa seperti kami hidup makan minum dan tidur tiada bedanya dengan kami, mengapa
engkau yang dipilih oleh Tuhanmu? Sungguh engkau menurut anggapan kami seorang
pendusta besar atau mungkin engkau berfikiran tidak sihat terkena kutukan
tuhan-tuhan kami yang selalu engkau ejek hina dan cemuhkan."
"Wahai kaumku" jawab Nabi Hud, "Aku bukanlah
seorang pendusta dan fikiran ku tetap waras dan sihat tidak kurang sesuatu pun
dan ketahuilah bahawa patung-patungmu yang kamu pertuhankan itu tidak dapat
mendatangkan sesuatu gangguan atau penyakit bagi badanku atau fikiranku. Kamu
kenal aku, sejak lama aku hidup di tengah-tengah kamu bahawa aku tidak pernah
berdusta dan bercakap bohong dan sepanjang pergaulanku dengan kamu tidak pernah
terlihat pada diriku tanda-tanda ketidak wajaran perlakuanku atau tanda-tanda
yang meragukan kewarasan fikiranku dan kesempurnaan akalku. Aku adalah benar
pesuruh Allah s.w.t. yang diberi amanat untuk menyampaikan wahyu-Nya kepada
hamba-hamba-Nya yang sudah tersesat kemasukan pengaruh ajaran Iblis laknatullah
dan sudah jauh menyimpang dari jalan yang benar yang diajar oleh nabi-nabi yang
terdahulu kerana Allah s.w.t. tidak akan membiarkan hamba-hamba-Nya terlalu
lama terlantar dalam kesesatan dan hidup dalam kegelapan tanpa diutuskan
seorang rasul yang menuntun mereka ke jalan yang benar dan penghidupan yang
diredhai-Nya. Maka percayalah kamu kepada ku gunakanlah akal fikiran kamu
berimanlah dan bersujudlah kepada Allah s.w.t., Tuhan seru sekalian alam, Tuhan
yang menciptakan kamu menciptakan langit dan bumi menurunkan hujan bagi
menyuburkan tanah ladangmu, menumbuhkan tumbuhan bagi meneruskan hidupmu.
Bersembahlah kepada-Nya dan mohonlah ampun atas segala perbuatan salah dan
tindakan sesatmu, agar Dia menambah rezekimu dan kemakmuran hidupmu dan
terhindarlah kamu dari azab dunia sebagaimana yang telah dialami oleh kaum Nuh
dan kelak azab di akhirat. Ketahuilah bahawa kamu akan dibangkitkan kembali
kelak dari kubur kamu dan dimintai bertanggungjawab atas segala perbuatan kamu
didunia ini dan diberi ganjaran sesuai dengan amalanmu yang baik dan soleh
mendapat ganjaran baik dan yang hina dan buruk akan diganjarkan dengan api
neraka. Aku hanya menyampaikannya risalah Allah s.w.t. kepada kamu dan dengan
ini telah memperingati kamu akan akibat yang akan menimpa kepada dirimu jika
kamu tetap mengingkari kebenaran dakwahku."
Kaum Aad menjawab: "Kami bertambah yakin dan tidak ragu
lagi bahawa engkau telah mendapat kutukan tuhan-tuhan kami sehingga menyebabkan
fikiran kamu kacau dan akalmu berubah menjadi tidak siuman. Engkau telah
mengucapkan kata-kata yang tidak masuk akal bahawa jika kami mengikuti agamamu,
akan bertambah rezeki dan kemakmuran hidup kami dan bahawa kami akan
dibangkitkan kembali dari kubur kami dan menerima segala ganjaran atas segala
amalan kami.Adakah mungkin kami akan dibangkitkan kembali dari kubur kami setelah
kami mati dan menjadi tulang. Dan apakah azab dan seksaan yang engkau selalu
menakutkan kami dan mengancamkannya kepada kami? Semua ini kami anggap kosong
dan ancaman kosong belaka. Ketahuilah bahawa kami tidak akan menyerah kepadamu
dan mengikuti ajaranmu kerana bayangan azab dan seksa yang engkau bayangkannya
kepada kami bahkan kami menentang kepadamu datangkanlah apa yang engkau
janjikan dan ancaman itu jika engkau betul-betul benar dalam kata-katamu dan
bukan seorang pendusta."
"Baiklah" jawab Nabi Hud," Jika kamu
meragukan kebenaran kata-kataku dan tetap berkeras kepala tidak menghiraukan
dakwahku dan meninggalkan persembahanmu kepada berhala-berhala itu maka
tunggulah saat tibanya pembalasan Tuhan di mana kamu tidak akan dapat
melepaskan diri dari bencananya. Allah s.w.t. menjadi saksiku bahawa aku telah
menyampaikan risalah-Nya dengan sepenuh tenagaku kepada mu dan akan tetap
berusaha sepanjang hayat kandung badanku memberi penerangan dan tuntunan kepada
jalan yang baik yang telah digariskan oleh Allah s.w.t. bagi
hamba-hamba-Nya."
Pembalasan Allah s.w.t. Atas Kaum Aad
Pembalasan Allah s.w.t. terhadap kaum Aad yang kafir dan
tetap membangkang itu diturunkan dalam dua perinkat. Tahap pertama berupa
kekeringan yang melanda ladang-ladang dan kebun-kebun mereka, sehingga
menimbulkan kecemasan dan kegelisahan, kalau-kalau mereka tidak memperolehi
hasil dari ladang-ladang dan kebun-kebunnya seperti biasanya. Dalam keadaan
demikian Nabi Hud masih berusaha meyakinkan mereka bahawa kekeringan itu adalah
suatu permulaan seksaan dari Allah s.w.t. yang dijanjikan dan bahawa Allah
s.w.t. masih lagi memberi kesempatan kepada mereka untuk sedar akan kesesatan
dan kekafiran mereka dan kembali beriman kepada Allah s.w.t. dengan
meninggalkan persembahan mereka yang bathil kemudian bertaubat dan memohon
ampun kepada Allah s.w.t. agar segera hujan turun kembali dengan lebatnya dan
terhindar mereka dari bahaya kelaparan yang mengancam. Akan tetapi mereka tetap
belum mahu percaya dan menganggap janji Nabi Hud itu adalah janji kosong
belaka. Mereka bahkan pergi menghadap berhala-berhala mereka memohon
perlindungan dari musibah yang mereka hadapi.
Tentangan mereka terhadap janji Allah s.w.t. yang diwahyukan
kepada Nabi Hud segera mendapat jawapan dengan datangnya pembalasan tahap kedua
yang dimulai dengan terlihatnya gumpalan awan dan mega hitam yang tebal di atas
mereka yang disambutnya dengan sorak-sorai gembira, kerana dikiranya bahawa
hujan akan segera turun membasahi ladang-ladang dan menyirami kebun-kebun
mereka yang sedang mengalami kekeringan. Melihat sikap kaum Aad yang sedang
bersuka ria itu berkatalah Nabi Hud dengan nada mengejek: "Mega hitam itu
bukanlah mega hitam dan awam rahmat bagi kamu tetapi mega yang akan membawa
kehancuran kamu sebagai pembalasan Allah s.w.t. yang telah ku janjikan dan kamu
ternanti-nanti untuk membuktikan kebenaran kata-kataku yang selalu kamu sangkal
dan kamu dusta."
Sejurus kemudian menjadi kenyataanlah apa yang dikatakan
oleh Nabi Hud itu bahawa bukan hujan yang turun dari awan yang tebal itu tetapi
angin taufan yang dahsyat dan kencang disertai bunyi gemuruh yang mencemaskan
yang telah merosakkan bangunan-bangunan rumah dari dasarnya membawa
berterbangan semua perabot-perabot dan milik harta benda dan melempar jauh
binatang-binatang ternak. Keadaan kaum Aad menjadi panik mereka berlari kesana
sini mencari perlindungan Suami tidak tahu di mana isterinya berada dan ibu
juga kehilangan anaknya sedang rumah-rumah menjadi sama rata dengan tanah.
Bencana angin taufan itu berlangsung selama lapan hari tujuh malam sehingga
sempat menyampuh bersih kaum Aad yang congkak itu dan menamatkan riwayatnya
dalam keadaan yang menyedihkan itu untuk menjadi pengajaran dan ibrah bagi
umat-umat yang akan datang.
Adapun Nabi Hud dan para sahabatnya yang beriman telah
mendapat perlindungan Allah s.w.t. dari bencana yang menimpa kaumnya yang kacau
bilau dan tenang seraya melihat keadaan kaumnya yang kacau bilau mendengar
gemuruhnya angin dan bunyi pohon-pohon dan bangunan-bangunan yang berjatuhan
serta teriakan dan tangisan orang yang meminta tolong dan mohon perlindungan.
Setelah keadaan cuaca kembali tenang dan tanah "Al-Ahqaf " sudah
menjadi sunyi senyap dari kaum Aad pergilah Nabi Hud meninggalkan tempatnya
berhijrah ke Hadramaut, di mana ia tinggal menghabiskan sisa hidupnya sampai ia
wafat dan dimakamkan di sana dimana hingga sekarang makamnya yang terletak di
atas sebuah bukit di suatu tempat lebih kurang 50 km dari kota Siwun dikunjungi
para penziarah yang datang beramai-ramai dari sekitar daerah itu, terutamanya
dan bulan Syaaban pada setiap tahun.
Kisah Nabi Hud Dalam Al-Quran
Kisah Nabi Hud diceritakan oleh 68 ayat dalam 10 surah di
antaranya surah Hud, ayat 50 hingga 60 , surah " Al-Mukminun " ayat
31 sehingga ayat 41 , surah " Al-Ahqaaf " ayat 21 sehingga ayat 26
dan surah " Al-Haaqqah " ayat 6 ,7 dan 8.
Pengajaran Dari Kisah Nabi Hud A.S.
Nabi Hud telah memberi contoh dan sistem yang baik yang
patut ditiru dan diikuti oleh juru dakwah dan ahli penerangan agama. Beliau
menghadapi kaumnya yang sombong dan keras kepala itu dengan penuh kesabaran,
ketabahan dan kelapangan dada. Ia tidak sesekali membalas ejekan dan kata-kata
kasar mereka dengan serupa tetapi menolaknya dengan kata-kata yang halus yang
menunjukkan bahawa beliau dapat menguasai emosinya dan tidak sampai kehilangan
akal atau kesabaran.
Nabi Hud tidak marah dan tidak gusar ketika kaumnya mengejek
dengan menuduhnya telah menjadi gila dan tidak siuman. Ia dengan lemah lembut
menolak tuduhan dan ejekan itu dengan hanya mengata: "Aku tidak gila dan
bahawa tuhan-tuhanmu yang kamu sembah tidak dapat menggangguku atau mengganggu
fikiranku sedikit pun tetapi aku ini adalah rasul pesuruh Allah s.w.t. kepadamu
dan betul-betul aku adalah seorang penasihat yang jujur bagimu menghendaki
kebaikanmu dan kesejahteraan hidupmu dan agar kamu terhindar dan selamat dari
azab dan seksaan Allah s.w.t. di dunia mahupun di akhirat."
Dalam berdialog dengan kaumnya. Nabi Hud selalu berusaha
mengetuk hati nurani mereka dan mengajak mereka berfikir secara rasional,
menggunakan akal dan fikiran yang sihat dengan memberikan bukti-bukti yang
dapat diterima oleh akal mereka tentang kebenaran dakwahnya dan kesesatan jalan
mereka namun hidayah iu adalah dari Allah s.w.t., Dia akan memberinya kepada
siapa yang Dia kehendakinya.
KISAH NABI SALEH ALAI HIS SALAM
Tsamud adalah nama suatu suku yang oleh sementara ahli
sejarah dimasukkan bahagian dari bangsa Arab dan ada pula yang menggolongkan
mereka ke dalam bangsa Yahudi. Mereka bertempat tinggal di suatu dataran
bernama "Alhijir" terletak antara Hijaz dan Syam yang dahulunya
termasuk jajahan dan dikuasai suku Aad yang telah habis binasa disapu angin taufan
yang di kirim oleh Allah s.w.t. sebagai pembalasan atas pembangkangan dan
pengingkaran mereka terhadap dakwah dan risalah Nabi Hud a.s. Kemakmuran dan
kemewahan hidup serta kekayaan alam yang dahulu dimiliki dan dinikmati oleh
kaum Aad telah diwarisi oleh kaum Tsamud. Tanah-tanah yang subur yang
memberikan hasil berlimpah ruah, binatang-binatang perahan dan lemak yang
berkembang biak, kebun-kebun bunga yag indah-indah, bangunan rumah-rumah yang
didirikan di atas tanah yang datar dan dipahatnya dari gunung. Semuanya itu
menjadikan mereka hidup tenteram ,sejahtera dan bahgia, merasa aman dari segala
gangguan alamiah dan bahawa kemewahan hidup mereka akan kekal bagi mereka dan
anak keturunan mereka.
Kaum Tsamud tidak mengenal Tuhan. Tuhan mereka adalah berhala-berhala
yang mereka sembah dan puja, kepadanya mereka berqurban, tempat mereka minta
perlindungan dari segala bala dan musibah dan mengharapkan kebaikan serta
kebahagiaan. Mereka tidak dapat melihat atau memikirkan lebih jauh dan apa yang
dapat mereka jangkau dengan pancaindera.
Nabi Saleh Berdakwah Kepada Kaum Tsamud
Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang tidak akan
membiarkan hamba-hamba-Nya berada dalam kegelapan terus-menerus tanpa diutusnya
nabi pesuruh disisi-Nya untuk memberi penerangan dan memimpin mereka keluar
dari jalan yang sesat ke jalan yang benar. Demikian pula Allah s.w.t. tidak
akan menurunkan azab dan seksaan kepada suatu umat sebelum mereka diperingatkan
dan diberi petunjukkan oleh-Nya dengan perantara seorang yang dipilih untuk
menjadi utusan dan rasul-Nya. Sunnatullah ini berlaku pula kepada kaum Tsamud,
yang kepada mereka telah diutuskan Nabi Saleh seorang yang telah dipilih-Nya
dari suku mereka sendiri, dari keluarga yang terpandang dan dihormati oleh
kaumnya, terkenal tangkas, cerdik pandai, rendah hati dan ramah-tamah dalam
pergaulan.
Dikenalkan mereka oleh Nabi Saleh kepada Tuhan yang sepatut
mereka sembah, Tuhan Allah Yang Maha Esa, yang telah mencipta mereka,
menciptakan alam sekitar mereka, menciptakan tanah-tanah yang subur yang
menghasilkan bahan-bahan keperluan hidup mereka, mencipta binatang-binatang
yang memberi manfaat dan berguna bagi mereka dan dengan demikian memberi kepada
mereka kenikmatan dan kemewahan hidup dan kebahagiaan lahir dan batin. Tuhan
Yang Esa itulah yang harus mereka sembah dan bukan patung-patung yang mereka
pahat sendiri dari batu-batu gunung yang tidak berkuasa memberi sesuatu kepada
mereka atau melindungi mereka dari ketakutan dan bahaya.
Nabi Saleh memperingatkan mereka bahawa ia adalah seorang
daripada mereka, terjalin antara dirinya dan mereka ikatan keluarga dan darah.
Mereka adalah kaumnya dan sanak keluarganya dan dia adalah seketurunan dan
sesuku dengan mereka. Ia mengharapkan kebaikan dan kebajikan bagi mereka dan
sesekali tidak akan menjerumuskan mereka ke dalam hal-hal yang akan membawa
kerugian, kesengsaraan dan kebinasaan bagi mereka. Ia menerangkan kepada mereka
bahawa ianya adalah pesuruh dan utusan Allah s.w.t. dan apa yang diajarkan dan
didakwahkan kepada mereka adalah amanat Allah s.w.t. yang harus dia sampaikan
kepada mereka untuk kebaikan mereka semasa hidup mereka dan sesudah mereka mati
di akhirat kelak. Ia mengharapkan kaumnya mempertimbangkan dan memikirkan
sungguh-sungguh apa yang ia serukan dan anjurkan dan agar mereka segera
meninggalkan persembahan kepada berhala-berhala itu dan percaya beriman kepada
Allah Yang Maha Esa seraya bertaubat dan mohon ampun kepada-Nya atas dosa dan
perbuatan syirik yang selama ini telah mereka lakukan. Allah s.w.t. dekat
kepada mereka mendengarkan doa mereka dan memberi ampun kepada yang salah bila
dimintanya.
Terperanjatlah kaum Saleh mendengar seruan dan dakwahnya
yang bagi mereka merupakan hal yang baru yang tidak diduga akan datang dari
saudara atau anak mereka sendiri. Maka serentak ditolaklah ajakan Nabi Saleh
itu seraya berkata mereka kepadanya: "Wahai Saleh! Kami mengenalmu seorang
yang pandai, tangkas dan cerdas, fikiranmu tajam dan pendapat serta semua
pertimbangan mu selalu tepat. Pada dirimu kami melihat tanda-tanda kebajikan
dan sifat-sifat yang terpuji. Kami mengharapkan dari engkau sebetulnya untuk
memimpin kami menyelesaikan hal-hal yang rumit yang kami hadapi, memberi
petunjuk dalam soal-soal yang gelap bagi kami dan menjadi ikutan dan
kepercayaan kami di kala kami menghadapi krisis dan kesusahan. Akan tetapi
segala harapan itu menjadi meleset dan kepercayaan kami kepadamu tergelincir
hari ini dengan tingkah lakumu dan tindak tandukmu yang menyalahi adat-istiadat
dan tatacara hidup kami. Apakah yang engkau serukan kepada kami? Engkau
menghendaki agar kami meninggalkan persembahan kami dan nenek moyang kami,
persembahan dan agama yang telah menjadi darah daging kami menjadi sebahagian
hidup kami sejak kami dilahirkan dan tetap menjadi pegangan untuk
selama-lamanya. Kami sesekali tidak akan meninggalkannya kerana seruanmu dan
kami tidak akan mengikutimu yang sesat itu. Kami tidak mempercayai cakap-cakap
kosongmu bahkan meragukan kenabianmu. Kami tidak akan mendurhakai nenek moyang
kami dengan meninggalkan persembahan mereka dan mengikuti jejakmu."
Nabi Saleh memperingatkan mereka agar jangan menentangnya
dan agar mengikuti ajakannya beriman kepada Allah s.w.t. yang telah mengurniai
mereka rezeki yang luas dan penghidupan yang sejahtera. Diceritakan kepada
mereka kisah kaum-kaum yang mendapat seksa dan azab dari Allah s.w.t. kerana
menentang rasul-Nya dan mendustakan risalah-Nya. Hal yang serupa itu boleh
terjadi di atas mereka jika mereka tidak mahu menerima dakwahnya dan mendengar
nasihatnya, yang diberikannya secara ikhlas dan jujur sebagai seorang anggota
dari keluarga besar mereka dan yang tidak mengharapkan atau menuntut upah
daripada mereka atas usahanya itu. Ia hanya menyampaikan amanat Allah s.w.t.
yang ditugaskan kepadanya dan Allah s.w.t.lah yang akan memberinya upah dan
ganjaran untuk usahanya memberi pimpinan dan tuntutan kepada mereka.
Sekelompok kecil dari kaum Tsamud yang kebanyakkannya
terdiri dari orang-orang yang kedudukan sosial lemah menerima dakwah Nabi Saleh
dan beriman kepadanya sedangkan sebahagian yang terbesar terutamanya mereka
yang tergolong orang-orang kaya dan berkedudukan tetap berkeras kepala dan
menyombongkan diri menolak ajakan Nabi Saleh dan mengingkari kenabiannya dan
berkata kepadanya: "Wahai Saleh! Kami kira bahawa engkau telah kerasukan
syaitan dan terkena sihir. Engkau telah menjadi gila. Akalmu sudah berubah dan
fikiranmu sudah kacau sehingga engkau dengan tidak sedar telah mengeluarkan
kata-kata ucapan yang tidak masuk akal dan mungkin engkau sendiri tidak
memahaminya. Engkau mengaku bahawa engkau telah diutuskan oleh Tuhanmu sebagai
nabi dan rasul-Nya. Apakah kelebihanmu daripada kami semua sehingga engkau
dipilih menjadi rasul, padahal ada orang-orang di antara kami yang lebih patut
dan lebih cekap untuk menjadi nabi atau rasul drp engkau. Tujuanmu dengan
bercakap kosong dan kata-katamu hanyalah untuk mengejar kedudukan dan ingin
diangkat menjadi kepala dan pemimpin bagi kaummu. Jika engkau merasa bahawa
engkau sihat badan dan sihat fikiran dan mengaku bahawa engkau tidak mempunyai
arah dan tujuan yang terselubung dalam dakwahmu itu maka hentikanlah usahamu
menyiarkan agama barumu dengan mencerca persembahan kami dan nenek moyangmu
sendiri. Kami tidak akan mengikuti jalanmu dan meninggalkan jalan yang telah
ditempuh oleh orang-orang tua kami lebih dahulu.
Nabi Saleh menjawab: "Aku telah berulang-ulang mengatakan
kepadamu bahawa aku tidak mengharapkan sesuatu apapun daripadamu sebagai
imbalan atas usahaku memberi tuntunandan penerangan kepada kamu. Aku tidak
mengharapkan upah atau mendambakan pangkat dan kedudukan bagi usahaku ini yang
aku lakukan semata-mata atas perintah Allah s.w.t. dan daripada-Nya kelak aku
harapkan balasan dan ganjaran untuk itu. Dan bagaimana aku dapat mengikutimu
dan menterlantarkan tugas dan amanat Tuhan kepadaku, padahal aku talah
memperoleh bukti-bukti yang nyata atas kebenaran dakwahku. Janganlah sesekali
kamu harapkan bahawa aku akan melanggar perintah Tuhanku dan melalaikan
kewajibanku kepada-Nya hanya semata-mata untuk melanjutkan persembahan nenek
moyang kami yang bathil itu. Siapakah yang akan melindungiku dari murka dan azab
Tuhan jika aku berbuat demikian? Sesungguhnya kamu hanya akan merugikan dan
membinasakan aku dengan seruanmu itu."
Setelah gagal dan berhasil menghentikan usaha dakwah Nabi
Saleh dan dilihatnya ia bahkan makin giat menarik orang-orang mengikutinya dan
berpihak kepadanya para pemimpin dan pemuka kaum Tsamud berusaha hendak
membendung arus dakwahnya yang makin lama makin mendpt perhatian terutama dari
kalangan bawahan menengah dalam masyarakat. Mereka menentang Nabi Saleh dan
untuk membuktikan kebenaran kenabiannya dengan suatu bukti mukjizat dalam
bentuk benda atau kejadian luar biasa yang berada di luar kekuasaan manusia.
Allah s.w.t. Memberi Mukjizat Kepada Nabi Saleh a.s.
Nabi Saleh sedar bahawa tentangan kaumnya yang menuntut
bukti daripadanya berupa mukjizat itu adalah bertujuan hendak menghilangkan
pengaruhnya dan mengikis habis kewibawaannya di mata kaumnya terutama para
pengikutnya bila ia gagal memenuhi tentangan dan tuntutan mereka. Nabi Saleh
membalas tentangan mereka dengan menuntut janji dengan mereka bila ia berhasil
mendatangkan mukjizat yang mereka minta bahawa mereka akan meninggalkan agama
dan persembahan mereka dan akan mengikuti Nabi Saleh dan beriman kepadanya.
Sesuai dengan permintaan dan petunjuk pemuka-pemuka kaum
Tsamud berdoalah Nabi Saleh memohon kepada Allah s.w.t. agar memberinya suatu
mukjizat untuk membuktikan kebenaran risalahnya dan sekaligus mematahkan
perlawanan dan tentangan kaumnya yang masih berkeras kepala itu. Ia memohon
dari Allah s.w.t. dengan kekuasaan-Nya menciptakan seekor unta betina
dikeluarkannya dari perut sebuah batu karang besar yang terdapat di sisi sebuah
bukit yang mereka tunjuk.
Maka sejurus kemudian dengan izin Allah Yang Maha Kuasa lagi
Maha Pencipta terbelahlah batu karang yang ditunjuk itu dan keluar dari
perutnya seekor unta betina.
Dengan menunjuk kepada binatang yang baru keluar dari perut
batu besar itu berkatalah Nabi Saleh kepada mereka: "Inilah dia unta Allah
s.w.t., janganlah kamu ganggu dan biarkanlah ia mencari makanannya sendiri di
atas bumi Allah s.w.t. ia mempunyai giliran untuk mendapatkan air minum dan
kamu mempunyai giliran untuk mendapatkan minum bagimu dan bagi ternakanmu juga
dan ketahuilah bahawa Allah s.w.t. akan menurunkan azab-Nya bila kamu sampai
mengganggu binatang ini."
Kemudian berkeliaranlah unta di ladang-ladang memakan rumput
sesuka hatinya tanpa mendapat gangguan. Dan ketika giliran minumnya tiba
pergilah unta itu ke sebuah perigi yang diberi nama perigi unta dan minumlah
sepuas hatinya. Dan pada hari-hari giliran unta Nabi Saleh itu datang minum
tiada seekor binatang lain berani menghampirinya, hal mana menimbulkan rasa
tidak senang pada pemilik-pemilik binatang itu yang makin hari makin merasakan
bahawa adanya unta Nabi Saleh di tengah-tengah mereka itu merupakan gangguan
laksana duri yang melintang di dalam kerongkong.
Dengan berhasilnya Nabi Saleh mendatangkan mukjizat yang
mereka tuntut gagallah para pemuka kaum Tsamud dalam usahanya untuk menjatuhkan
kehormatan dan menghilangkan pegaruh Nabi Saleh bahkan sebaliknya telah
menambah tebal kepercayaan para pengikutnya dan menghilang banyak keraguan dari
kaumnya. Maka dihasutlah oleh mereka pemilik-pemilik ternakan yang merasa
jengkel dan tidak senang dengan adanya unta Nabi Saleh yang merajalela di
ladang dan kebun-kebun mereka serta ditakuti oleh binatang-binatang
peliharaannya.
Unta Nabi Saleh Dibunuh
Persekongkolan diadakan oleh orang-orang dari kaum Tsamud
untuk mengatur rancangan pembunuhan unta Nabi Saleh. Dan selagi orang masih
dibayangi oleh rasa takut dari azab yang diancam oleh Nabi Saleh bila untanya
diganggu di samping adanya dorongan keinginan yang kuat untuk melenyapkan
binatang itu dari atas bumi mereka, muncullah tiba-tiba seorang janda bangsawan
yang kaya raya menawarkan akan menyerah dirinya kepada siapa yang dapat
membunuh unta Saleh. Di samping janda itu ada seorang wanita lain yang
mempunyai beberapa puteri cantik-cantik menawarkan akan menghadiahkan salah
seorang dari puteri-puterinya kepada orang yang berhasil membunuh unta itu.
Dua macam hadiah yang menggiurkan dari kedua wanita itu di
samping hasutan para pemuka Tsamud mengundang dua orang lelaki bernama
Mushadda' bin Muharrij dan Gudar bin Salif berkemas-kemas akan melakukan
pembunuhan bagi meraih hadiah yang dijanjikan di samping sanjungan dan pujian
yang akan diterimanya dari para kafir suku Tsamud bila unta Nabi Saleh telah
mati dibunuh. Dengan bantuan tujuh orang lelaki lagi bersembunyilah kumpulan
itu di suatu tempat di mana biasanya dilalui oleh unta dalam perjalanannya ke
perigi tempat ianya minum. Dan begitu unta yang tidak berdosa itu lalu
segeralah dipanah betisnya oleh Musadda' yang disusul oleh Gudar dengan
menikamkan pedangnya di perutnya.
Dengan perasaan megah dan bangga pergilah para pembunuh unta
itu ke ibu kota menyampaikan berita matinya unta Nabi Saleh yang mendapat
sambutan sorak-sorai dan teriakan gembira dari pihak musyrikin seakan-akan
mereka kembali dari medan perang dengan membawa kemenangan yang gilang
gemilang. Berkata mereka kepada Nabi Saleh: "Wahai Saleh! Untamu telah
mati dibunuh, cubalah datangkan akan apa yang engkau katakan dulu akan
ancamannya bila unta itu diganggu, jika engkau betul-betul termasuk orang-orang
yang terlalu benar dalam kata-katanya."
Nabi Saleh menjawab: "Aku telah peringatkan kamu,
bahawa Allah s.w.t. akan menurunkan azab-Nya atas kamu jika kamu mengganggu
unta itu. Maka dengan terbunuhnya unta itu maka tunggulah engkau akan tibanya
masa azab yang Allah s.w.t. talah janjikan dan telah aku sampaikan kepada kamu.
Kamu telah menentang Allah s.w.t. dan
terimalah kelak akibat tentanganmu kepada-Nya. Janji Allah s.w.t. tidak akan
meleset. Kamu boleh bersuka ria dan bersenang-senang selama tiga hari ini
kemudian terimalah ganjaranmu yang setimpal pada hari keempat. Demikianlah
kehendak Allah s.w.t. dan takdir-Nya yang tidak dapat ditunda atau
dihalang."
Ada kemungkinan menurut ahli tafsir bahawa Allah s.w.t.
melalui rasul-Nya Nabi Saleh memberi waktu tiga hari itu untuk memberi
kesempatan, kalau-kalau mereka sedar akan dosanya dan bertaubat minta ampun
serta beriman kepada Nabi Saleh kepada risalahnya. Akan tetapi dalam
kenyataannya tempoh tiga hari itu bahkan menjadi bahan ejekan kepada Nabi Saleh
yang ditentangnya untuk mempercepat datangnya azab itu dan tidak usah
ditangguhkan tiga hari lagi.
Turunnya Azab Allah s.w.t. Yang Dijanjikan
Nabi Saleh memberitahu kaumnya bahawa azab Allah s.w.t. yang
akan menimpa di atas mereka akan didahului dengan tanda-tanda, iaitu pada hari
pertama bila mereka terbangun dari tidurnya akan menemui wajah mereka menjadi
kuning dan berubah menjadi merah pada hari kedua dan hitam pada hari ketiga dan
pada hari keempat turunlah azab Allah s.w.t. yang pedih. Mendengar ancaman azab
yang diberitahukan oleh Nabi Saleh kepada kaumnya kelompok sembilan orang ialah
kelompok pembunuh unta merancang pembunuhan atas diri Nabu Saleh mendahului
tibanya azab yang diancamkan itu. Mereka mengadakan pertemuan rahsia dan
bersumpah bersama akan melaksanakan rancangan pembunuhan itu di waktu malam, di
saat orang masih tidur nyenyak untuk menghindari tuntutan balas darah oleh
keluarga Nabi Saleh, jika diketahui identiti mereka sebagai pembunuhnya.
Rancangan mereka ini dirahsiakan sehingga tidak diketahui dan didengar oleh
siapa pun kecuali kesembilan orang itu sendiri.
Ketika mereka datang ke tempat Nabi Saleh bagi melaksanakan
rancangan jahatnya di malam yang gelap-gulita dan sunyi-senyap berjatuhanlah di
atas kepala mereka batu-batu besar yang tidak diketahui dari arah mana
datangnya dan yang seketika merebahkan mereka di atas tanah dalam keadaan tidak
bernyawa lagi. Demikianlah Allah s.w.t. telah melindingi rasul-Nya dari
perbuatan jahat hamba-hamba-Nya yang kafir. Satu hari sebelum hari turunnya
azab yang telah ditentukan itu, dengan izin Allah s.w.t. berangkatlah Nabi Saleh
bersama para mukminin pengikutnya menuju Ramlah, sebuah tempat di Palestin,
meninggalkan Hijir dan penghuninya, kaum Tsamud habis binasa, ditimpa
halilintar yang dahsyat beriringan dengan gempa bumi yang mengerikan.
Kisah Nabi Saleh Dalam Al-Quran
Kisah Nabi Saleh diceritakan oleh 72 ayat dalam 11 surah di
antaranya surah Al-A'raaf, ayat 73 hingga 79 , surah " Hud " ayat 61
sehingga ayat 68 dan surah " Al-Qamar " ayat 23 sehingga ayat 32.
Pengajaran Dari Kisah Nabi Saleh a.s.
Pengajaran yang menonjol yang dapat dipetik dari kisah Nabi
Saleh ini ialah bahawa dosa dan perbuatan mungkar yang dilakukan oleh
sekelompok kecil warga masyarakat dapat membinasakan masyarakat itu seluruhnya.
Lihatlah betapa kaum Tsamud menjadi binasa, hancur dan bahkan tersapu bersih
dari atas bumi kerana dosa dan pelanggaran perintah Allah s.w.t. yang dilakukan
oleh beberapa gelintir orang pembunuh unta Nabi Saleh a.s. Di sinilah letaknya
hikmah perintah Allah s.w.t. agar kita melakukan amar makruf nahi mungkar.
Kerana dengan melakukan tugas amar makruf nahi mungkar yang menjadi fardu
kifayah itu, setidak-tidaknya kalau tidak berhasil mencegah kemungkaran yang
terjadi didalam masyarakat dan lindungan kita, kita telah membebaskan diri dari
dosa menyetujui atau merestui perbuatan mungkar itu Bersikap pasif acuh tak
acuh terhadap maksiat dan kemungkaran yang berlaku di depan mata dapat
diertikan sebagai persetujuan dan penyekutuan terhadap perbuatan mungkar itu.
huhhhhhhhhhhh......panjangkan,penat juga tau buat cerita ni...ada juga yang saya copy and pastte sikit...tapi bukan semua... insyaallah,Allah kira kalau kita betul2 ikhlas...moga-moga menjadi saksi di akhirat kelak...
@kepada sesiapa sahaja yang mengalami persoalan-persoalan NON-MUSLIM terutamanya,tinggalkanlah pesan,saya sentiasa disini..saya tidak punya apa-apa yang luar biasa,namun saya mempunyai rakan-rakan yang luar biasa,insyaallah..ISLAM ada jawapan untuk segalanya..percayalah...insyaallah....^_^ @
Assalamualaikum wahramatulahi wabarakatuh....
No comments:
Post a Comment